Friday, June 18, 2010

Gambar Tokek

Kisah Misteri Wajah Belmez 2

Apalah agaknya reaksi anda apabila rumah anda yang aman damai itu rupa-rupanya tempat berlakunya aktiviti paranormal atau lebih sesuai di sebut ‘laluan makhluk ghaib’.
Baiklah , hari ini saya akan menceritakan kejadian pelik di Belmez dimana penghuninya sering berhadapan dengan pengalaman yang menakutkan.Fenomena luar biasa ini terjadi di sebuah rumah di kawasan Desa Belmez berhampiran Cordoba, Sepanyol.Keluarga Maria Gomez Pereira tidak pernah menyangka bahawa di rumah mereka itu sering berlaku kemunculan wajah-wajah aneh yang entah dari mana datangnya.
Pada suatu hari , semasa Maria Gomez Pereira hendak menyediakan sarapan pagi , beliau terperanjat dan menjerit ketakutan apabila menjumpai wajah aneh mirip manusia dilantai dapur yang sedang merenungnya.Beberapa minit kemudian, wajah aneh yang merenungnya itu hilang.Maria mengganggap itu hanyalah khayalannya dan tidak menceritakan kepada ahli keluarganya yang lain.
Anggapan Maria ternyata salah apabila anaknya yang sedang duduk bersama neneknya di dapur pula tiba-tiba cemas.Wajah aneh yang suram tiba-tiba muncul dilantai marmar.Selepas kejadian itu , banyak wajah aneh muncul di atas lantai dan dinding dengan ekspresi wajah yang sedih dan memilukan.Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan mereka sekeluarga ketakutan. Kejadian itu berlaku pada 23 Ogos 1971.
Suami Maria yang tidak mahu kejadian aneh yang berlaku dirumah mereka itu tersebar luas di pelusuk desa segera mencari jalan untuk menghilangkan gangguan tersebut.Tetapi , walaupun pelbagai cara telah dilakukan , wajah-wajah aneh masih lagi muncul dengan lebih kerap.Ekspresi wajah aneh itu menjadi semakin pilu dan matanya semakin luas dibuka

Apabila semakin kerap wajah aneh itu muncul, suami Maria mengambil keputusan untuk membuang seramik dilantai rumah mereka dan menggantikan dengan simen. Seminggu kemudian , wajah aneh itu kembali muncul di lantai simen.Kali ini wajah itu kelihatan lebih jelas daripada yang sebelumnya.Kemunculan tetamu yang tidak diundang itu dilaporkan kepada pejabat pemerintah setempat untuk melakukan penyelidikan.
Penyelidikan dijalankan selama seminggu dan lantai bangunan itu digali.Jauh dibawah tanah , mereka menemui sesuatu yang mengejutkan.Dicelah-celah himpitan batu dan simen , mereka menemui kerangka manusia yang dipercayai berasal dari abad pertengahan.Kerangka itu kemudian dievakuasi dan tapak bekas penggalian itu segera ditutup dengan lapisan simen.
Namun beberapa minggu kemudian, wajah yang lain pula muncul di tempat yang sama.Selepas itu muncul lagi beberapa lagi wajah aneh yang lain.Wajah-wajah itu seperti memberitahu Maria mereka merintih kesakitan dan mengharap pertolongan .Walaupun mereka telah melakukan pelbagai cara untuk mengusir wajah-wajah aneh itu , ianya tetap kembali dan kemunculan selepas itu menjadi semakin lebih kerap dan, lebih menakutkan.
Berita tersebar luas dan rumah keluarga Maria Gomez Pereira di Belmez, telah di cop sebagai rumah berhantu.Setiap orang yang berada di sana pasti dapat melihat kemunculan wajah aneh itu.Fenomena aneh ini segera memancing sejumlah pakar mengenai paranormal. Mereka melakukan penyelidikan di keseluruhan rumah. Namun hingga kini belum ada teori dan jawapan yang cukup memuaskan.

Apakah yang sebenarnya yang terjadi di Belmez?
Milik siapakah wajah-wajah itu?

Menurut cerita ,tapak rumah yang didiami oleh Maria Gomez sekeluarga itu dahulunya dijadikan sebagai tempat hukuman mati ahli sihir.Mereka ini dibunuh , dibakar lalu di humban ke dalam lubang tapak rumah itu.Ada juga ahli sihir yang ditanam hidup-hidup.Ada suara-suara sumbang mengatakan , wajah-wajah yang muncul dirumah Maria Gomez itu menuntut menuntut pengampunan dan pengebumian yang sempurna.

Pengalaman Ganjil Tukang Mandi Mayat

Hati saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak tenteram.
Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang ke bawah saja yang saya dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an tahun itu dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ. Baunya memang busuk.
Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut, namun ia tidak menyeramkan saya. Sudah bermacam-macam mayat yang pernah saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat yang ini lain macam sedikit.

Semasa memandikan jenazah itu bulu roma saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah.
Apabila sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan perkuburan.
“Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga saya datang ke sini semula,”
pesan saya kepada penggali kubur. Saya tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juru urus jenazah wanita yang dipanggil untuk menguruskan satu jenazah lain.
“Insya-Allah,”
jawab penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak perlulah saya jelaskan kepadanya.
Selepas menghantar juruurus jenazah wanita, saya balik ke kawasan perkuburan tersebut. Hajatnya untuk sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apabila tiba di kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan.
“Tak apalah ustaz. Saya dah kebumikan. Dah selesai,”
kata penggali kubur tersebut.
“Alhamdulillah. Tak apalah, saya balik dulu.”
Namun apabila masuk sahaja ke dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori. Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikuti saya pulang ke rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang saya tahu, saya cuba halau ‘benda’ itu. Namun saya tahu saya gagal dan ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang dengannya.
Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah seperti ada sesuatu yang mengganggu perasaan mereka. Perasaan seram kembali datang. Bulu roma saya meremang.
Satu demi satu ayat suci saya baca dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya. Biasanya saya gunakan surah Al-Fatihah, ketiga-tiga Qul, ayat Qursi, amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya berjaya, tapi tiadak lama kemudian gangguan itu datang kembali. Sekali lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk sementara waktu, ia lari meninggalkan saya.
Rupa-rupanya gangguan itu cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif. Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur. Saya lihat sekeliling, tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat tertentu dan gangguan itu berhenti seketika.
Memikirkan gangguan itu sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu, akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan lagi.
Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada mayat berkenaan.
Telahan saya bahawa gangguan tersebut berpunca daripada mayat yang saya uruskan pada siang harinya memang berasas. Sebabnya ialah, tidak berapa lama kemudian saya mendapat berita bahawa penggali kubur itu telah jatuh sakit selama sebulan. Sejak mengebumikan mayat tersebut, hidup penggali kubur itu mula tidak tenteram kerana diekori oleh ‘mayat’ berkenaan. Apabila dia masuk saja ke pejabat, dilihatnya mayat itu berada di dalam pejabatnya. Apabila dia masuk bilik mandi, di situ juga ada mayat.
Pendeknya ke mana sahaja dia pergi, di bilik tidur, di ruang tamu, di bawah pokok atau di mana sekalipun, pasti dia akan ternampak mayat itu. Akibatnya dia sakit selama sebulan dan meracau yang bukan-bukan. Selepas puas berubat, akhirnya dia sembuh seperti sediakala.
Mungkin ada yang mengatakan cerita saya ini karut, atau sengaja direka, tapi percayalah, ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, alhamdulillah, kejadian itu memberi iktibar yang besar kepada saya.
Dari segi syarak, gangguan yang kami alami itu dilakukan oleh iblis menyerupai mayat untuk menakutkan kita supaya kita berhenti daripada menguruskan jenazah, gangguan seperti ini jangan dilayan kerana menguruskan jenazah adalah ibadah.
Saya yakin gangguan yang kami lalui berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan oleh lelaki tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang, gangguan seperti itu berlaku kerana lelaki berkenaan membela jin dan syaitan untuk dijadikan khadam melindunginya.
Bagi yang menuntut ilmu kebal, salah satu cara untuk membunuhnya ialah dengan membuang separuh mayatnya ke dalam sungai atau laut dan separuh lagi dibuang di darat. Itulah syaratnya kerana kalau kedua-dua bahagian tubuh itu dibuang di darat, atau kedua-duanya dibuang ke dalam air, ia akan bercantum dan mayat tersebut akan hidup semula. Itulah cerita yang saya dengar, betul atau tidak, wallahu’alam.
Nasihat saya, janganlah dituntut ilmu yang bukan-bukan, yang bersahabat dengan syaitan. Dalam syarak, apa ilmu kita tuntut pun kita tak boleh kebal. Malah nabi yang hafaz Al-Quran, rasul, tapi dia juga cedera semasa perang. Sebenarnya kita bukannya kebal, tapi dilindungi oleh jin.
“Ingatlah, jika kita berkehendakkan sesuatu, bermohonlah kepada Allah. Janganlah salah guna ayat Al-Quran. Dan apabila berdoa, jangan berwasilahkan kepada yang lain daripada nabi.”

Misteri Wajah Belmez

Shahirah menunggu seperti biasa. Lazimnya dia akan bertemu dengan Hazlan tepat jam 12 malam dalam irc (chatting). Itulah kawan baiknya sejak dia mengenali dunia chatting di irc. Pada mulanya dia memang kurang mempercayai pengunjung pengunjung IRC kerana mereka boleh menyamar bila bila masa tetapi Hazlan lain pula. Dia memang jujur dan berterus terang dalam banyak hal. Lagipun, mereka belum pernah bertemu cuma kerap bercakap melalui telefon sekiranya tidak berpeluang bertemu di IRC. Namun, malam ini berbeza, Hazlan tidak muncul. Dia sering menggunakan nama ‘hensemboy’ manakala Shahirah pula menggunakan nama ‘nurheart’.
Namun, malam ini nama tersebut tidak muncul. Shahirah kecewa kerana Hazlan mungkir janji mahu bertemu dengannya di IRC. Shahirah meninggalkan kafe siber itu dengan hati yang sedih. Selang beberapa malam, Shahirah kembali mengunjungi IRC. Hajat utamanya ialah mahu mencari Hazlan kerana sudah beberapa hari Hazlan tidak pernah menghubunginya jauh sekali memohon maaf kerana gagal memenuhi janjinya beberapa malam lepas.Hampir sejam Shahirah berbual dengan rakan-rakannya yang lain, pada mereka juga Shahirah bertanya mengenai Hazlan namun mereka mengatakan sudah lama Hazlan tidak masuk IRC. Apabila hampir jam 12.30 tengah malam, nama samaran ‘hensemboy’ muncul. Shahirah tanpa membuang masa terus menegur Hazlan.
Nurheart : Lan …
Hensemboy : Ira … maaf saya tak dapat masuk malam itu.
Nurheart : Awak ke mana? Kenapa tak call saya?
Hensemboy : Maaf … saya tak sempat menghubungi awak. Maaf …
Nurheart : Tak kisahlah. Awak sihat?

Pertanyaan Shahirah tergantung di situ. Hazlan tidak menjawab pertanyaannya dan tiba tiba senyap. Shahirah menungqu dengan sabar namun tetap Hazlan tidak menjawab pertanyaan dan panggilan Shahirah. Dengan rasa sedih Shahirah meninggalkan IRC dan pulang dengan perasaan hampa.
“Kenapa dengan kau ni, Ira?” tanya Samirah, kawan baiknya sewaktu Shahirah melangkah lemah ke biliknya malam itu. “Aku tak faham betul. Kenapa Hazlan dingin dengan aku? Apa yang telah aku lakukan terhadap dia? “Jangan percaya sangat dengan pengunjung IRC tu.Mereka boleh menyamar bila bila masa saja. Aku dah kata jangan terlalu rapat nanti kau kecewa,”kata Samirah. “Aku berbual dengan dia malam ini tapi dia tiba tiba hilang. Aku risaulah dengan dia,Sam,” katanya sambil memegang tangan Samirah. Samirah mendiamkan diri seketika. Sejurus itu dia menyarankan agar Shahirah menelefon rumah Hazlan. Itu mungkin boleh melegakan perasaannya yang gundah
kerana sikap pelik Hazlan. Shahirah bersetuju dengan pendapat Samirah. Dia akan menghubungi Hazlan esok selepas dia pulang dari kelas malam.

Pada malam esok selepas tamat kelas malamnya, Shahirah telah singgah ke Kafe siber. Hajat hatinya mahu berbual dengan Hazlan sekiranya dia masuk IRC malam ini. Sekurang kurangnya dia dapat bertemu dengan Hazlan sebelum dia menghubungi rumahnya malam ini. Hajat Shahirah tercapai apabila Hazlan masuk IRC. Shahirah tersenyum gembira apabila Hazlan telah menegurnya.
Hensemboy : Ira … awak marah saya ke?
Nurheart : Siapalah saya mahu marah awak, Lan. Kenapa awak macam mahu tidak mahu berbual dengan saya?

hensemboy : Saya bukan lagi seperti dulu, Ira. Tapi, perasaan saya masih sama terhadap awak. Saya sedih nanti kita tidak dapat berbual lagi seperti dulu.
Nurheart : Kenapa?
Hensemboy : Saya kemalangan malam yang saya berjanji masuk IRC mahu bertemu dengan awak, ingat?
Nurheart : Awak teruk ke?
Hensemboy : Saya cedera parah. Teruk sangat sampai …. saya hilang darah yang banyak … saya tercampak di dalam semak dan saya cuba cari jalan keluar. Dengan rasa sakit yang amat sangat, saya tertinggal di tepi semak batu 6.
Nurheart : Siapa yang membantu awak? Sekarang awak di mana?
Hensemboy : Tidak ada siapa. Saya masih di sini … menanti orang membantu saya.
Nurheart : Maksud awak?
Hensemboy : Saya sudah meninggal dunia, Ira. Tolonglah cari mayat saya. Sempurnakan saya, Ira. Tolonglah.

Shahirah tersentak dan lantas meninggalkan komputernya dengan rasa takut yang amat sangat. Dia berlari menuju ke pondok telefon berdekatan dan menghubungi rumah Hazlan. Memang Hazlan seorang yang suka bergurau tetapi gurauannya malam ini memang menyeramkan Terdengar deringan telefon dan satu suara wanita menjawabnya.
Apabila ditanya, dia merupakan kakak Hazlan. Setelah memperkenalkan dirinya, dengan lembut Shahirah bertanya mengenai Haz1an. Tiba tiba suara wanita itu menangis. Katanya, sudah empat hari Hazlan tidak pulang ke rumah. Laporan polis sudah dibuat namun masih belum ditemui. Dengan suara yang bergetar, Shahirah berkata kepada kakak Hazlan sdpaya mencari Hazlan di dalam semak Batu 6. Tanpa menunggu lama, Shahirah terus meletak gagang. Airmatanya mencurah curah bercampur sedih dan takut.
Keesokan harinya, kisah Hazlan muncul di muka depan akhbar. Mayat seorang siswa berumur 25 tahun ditemui di dalam semak kawasan Batu 6 dalam keadaan cedera parah dan mulai busuk. Motor yang ditunggangnya tercampak ke dalam gaung. Kemalangan itu ditafsir sebagai langgar lari. Shahirah melipat akhbar tersebut. Dia berjanji tidak akan mengunjungi IRC lagi. Dalam diam dia mengakui Hazlan memang menyayanginya kerana dalam keadaan begitu dia masih cuba mahu berbual dengannya walaupun dengan memberitahu berita yang sedih bahawa dia sudah tiada lagi.

Misteri Di Rumah Yus

Kisah ini dikirimkan oleh Yus dari Pokok Sena,Kedah melalui email aku eryz_jay@live.com.my. Beliau mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama pengunjung blog yang lain.
Ceritanya bermula begini …
Yus dibesarkan di sebuah kampung yang terletak di daerah Kota Star , Kedah.Menurutnya,kampungnya itu sering mengalami kejadian aneh dan misteri.Dirumahnya sendiri juga berlaku jelmaan aneh yang menakutkan.
Rumahnya itu didirikan atas ehsan dan bantuan orang kampung sekitar tahun 1970-an diatas sekeping tanah wakaf perkuburan bersebelahan dengan surau.Jarak rumahnya dengan kubur hanya sejauh padang bola sahaja.Binaan awal pada ketika itu hanyalah kayu-kayu hutan cukup untuk berteduh dari panas dan hujan.Beberapa tahun kemudian , rumahnya yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan itu didigantikan dengan papan yang lebih elok.
Menurut Yus lagi , rumah asal yang didiami oleh mereka itu pernah dilanda ribut kuat dan hampir roboh.Bayangkanlah rumah yang ibarat pondok itu sementara menanti untuk dibesarkan dan dibaiki sudah semestinya pasti akan roboh dilanda ribut.Ribut semakin mengganas dan mereka sekeluarga cemas.Lantas , ayahnya segera azan dengan kuatnya.Dengan takdir Tuhan , ribut berhenti dengan serta merta dan semuanya selamat daripada malapetaka itu.Sekitar tahun 1980-an , yus yang berusia lima tahun terjaga daripada tidur lalu menangis.Menurut ibunya , yus terjaga kerana mendengar bunyi burung gud-gud (tak tau tempat lain org panggil apa) bersahut-sahutan.Menurut kepercayaan masyarakat dahulu , burung gud-gud dikaitkan dengan kematian dan kemunculan hantu di kala tengah malam.Pada tahun yang sama , ayah yus mula membaiki rumah mereka.Dinding kayu digantikan dengan batu-bata walaupun hanya separuh pinggang dan berlantaikan simen.
Pada suatu malam , ibu yus dikejutkan dengan kunjungan makhluk aneh yang berwarna putih dan besar.Makhluk aneh itu terbang dan hinggap diatas papan di dalam rumah mereka.Selepas ibunya membaca beberapa ayat suci al-Quran , makhluk aneh itu segera ghaib dari pandangan.Orang kampung yang keluar menoreh getah pada awal subuh sering ternampak cahaya api berkelip diatas bumbung rumah mereka.Sehinggakan , ada yang menuduh ibu yus membela hantu.Tetapi , ianya disangkal oleh ibunya kerana dirumah mereka sering berlaku kejadian aneh dan kemunculan makhluk-makhluk ghaib.Pada tahun 90-an pula , berlaku kejadian pelik kepada abang kedua yus.Semasa abangnya tidur di dalam bilik bersama abang ketiganya , abangnya tersedar dari tidur kerana mendengar bunyi yang aneh.Pada mulanya abangnya hanya nampak ada cahaya kecil berwarna-warni yang cantik.kemudian, cahaya itu semakin membesar dan menyerupai lembaga perempuan.Lembaga perempuan itu berubah menjadi makhluk yang menakutkan dan mencekik leher abangnya itu.
Abangnya yang pada waktu itu dicekik dan dirasuk oleh lembaga itu terus menjerit dan mengejutkan kedua ibu-bapanya.Lampu dipasang dan semasa ibunya memasuki bilik,dia terasa seperti ada ’sesuatu’ yang berselisih dengannya.Abangnya semakin kuat menjerit dan jiran disebelah rumahnya dipanggil untuk mengubati abangnya yang dirasuk hantu.Alhamdulillah , abangnya yang dirasuk berjaya diubati.Pada malam keesokannya , yassin dibaca sehingga genap tujuh malam.Menurut jirannya itu , makhluk yang merasuk abangnya itu di buang di hujung kampung selepas merasuk seorang askar yang bertugas di hutan tersebut.Persoalan bagaimana pula abangnya itu dirasuk mungkin berpunca daripada keseronokan mereka melastik dan bermain dikawasan tersebut.Diantara tahun 1991 hingga 1999,bilik abang ngahnya sering diceroboh makhluk hitam yang terbang melalui tingkap.Tingkap yang berlangsirkan sehelai kain itu disendalkan dengan rotan silat miliknya.
Tengah sedap tidur , abangnya terjaga dan nampak macam angin meniup-niup kain langsir itu.Semakin lama semakin kuat padahal tiada tanda-tanda hari hendak hujan.Entah macamana, abang ngahnya bangun lalu memaki-hamun dan menendang ‘benda’ yang berada di tingkap itu.Apa lagi , berteraburlah rotan siliat dan tong speaker.’Benda’ itu cuba untuk masuk ke dalam bilik lalu bersilatlah abangnya itu.Abang ngahnya segera membaca kalimah a’udhubillaahiminsshaitanirrajim, bismillah…tetapi selepas selesai dibacakan kalimah itu , ‘benda’ itu kembali sekali lagi.Ibunya menyuruh abang ngahnya membuka pintu sahaja.Sebaik pintu dibuka , terasa ada angin menghembus keluar.
Yus yang pernah mengalami kejadian yang menakutkan segera berlari ke bahagian bawah rumah dan memasang lampu.Selepas selesai semuanya , dia dan abang chiknya yang ketakutkan naik tidur.Kejadian misteri dirumah mereka berlanjutan sehingga yus sudah besar panjang dan bersekolah menengah.Biasalah , selepas waktu isyak dia suka lepak dibilik abangnya sambil berkhayal tentang masa depan.Jam pun sudak berdetik sehingga 3 pagi.Tiba-tiba dia tersedar daripada tidur dan dibiliknya itu gelap gelita.Biasanya cahaya lampu dari ruang tamu rumahnya akan tembus melalui dinding pecah tapi malam itu lain benar rasanya.Ada cahaya merah dari sebelah almari milik abangnya itu.
Diperhatikannya lagi untuk mendapatkan kepastian dan alangkah terperanjatnya kerana cahaya merah itu sebenarnya kedua biji mata merah menyala yang menyinga kearahnya.Kaku seluruh badannya , dia pejamkan mata dan cuba untuk membaca apa yang patut tetapi dek kerana ketakukan yang teramat sangat , dia lupa kalimah ayat al-Qursi.Kemudian dia terasa badannya ringan semacam dan dia membuka matanya kembali.Keadaan di dalam bilik itu terang dan mata yang merah menyala itu ghaib secara tiba-tiba.
Menurut yus lagi , kejadian aneh sering berlaku seperti bunyi orang berjalan disekeliling ruamh , bunyi orang berlari di atas atap,cakaran di dinding dan bunyi orang menebas semak samun padahal tiada sesiapapun pada waktu itu.Mereka pun dah biasa dengan kejadian tersebut,almaklum bukan sehari dua mereka menghadapi situasi pelik tu.

Misteri Di Lorong Sunyi

Ashraf pada mulanya memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus, ghaib dan sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka bercerita tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi kerana dia memang tidak mempercayainya.
Tetapi kejadian tiga bulan lalu mengubah pendirian Ashraf. Akhirnya dia terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam ingatannya.
Kejadian yang amat menakutkan itu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat Ashraf bekerja. Sememangnya lorong sunyi itu menjadi laluan baginya setiap kali pulang dari tempat kerja. Ashraf sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak pernah dia terserempak dengan sebarang makhluk ghaib atau aneh.
Selama ini rakan-rakannya galak menceritakan tentang ada orang yang berjumpa dengan puntianak, hantu raya, hantu bungkus dan sebagainya. Walaupun pelbagai cerita seram didengarinya, biarpun beratus nasihat telah diterimanya, namun Ashraf tetap berdegil untuk melalui lorong sunyi itu.
Sebenarnya Ashraf tidak mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Ashraf bekerja sebagai wartawan di sebuah syarikat penerbitan majalah. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus menyiapkan tugasan terlebih dahulu sehinggakan kadang kala menjangkau pukul dua pagi.
Dahulu laluan sunyi itu memang menjadi laluan ramai pekerja kilang kerana kawasan itu memang kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ini, pekerja-pekerja kilang sudah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu puntianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil.
Biarpun orang lain tidak berani menggunakan lorong sunyi itu, tetapi Ashraf tetap melaluinya. Sehinggalah pada suatu malam, selepas habis bekerja, Ashraf terus pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi itu, Ashraf singgah terlebih dahulu di warung mamak bersama dua orang rakannya, Sharil dan Muhaimin. Kerana asyik berborak, mereka bertiga terlupa hari sudah jauh malam.
Jam di tangan Ashraf sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat. Shahril dan Muhaimin tidak pulang melalui lorong sunyi itu. Walaupun diajak oleh Ashraf, Shahril dan Muhaimin tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah Ashraf seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kalau dia ikut jalan raya, sudah terlalu jauh untuk sampai ke rumahnya. Mahu tidak mahu, Ashraf terpaksa melalui lorong sunyi itu.
Dalam perjalanan pulang, hati Asharf tiba-tiba berdebar. Matanya menjeling kiri kanan lorong. Tiba di pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di hadapannya. Ashraf berhenti seketika. Hati dan perasaannya mula menggambarkan apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Tetapi Ashraf kuatkan semangat.
Ketika langkahnya semakin menghampiri wanita itu, hidungnya tiba-tiba ditampar bau wangi. Tidak pernah dia menghidu bau wangi sedemikian sepanjang dia melalui lorong tersebut. Tetapi kali ini dia menghidunya. Tidak mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Ashraf mula tertanya sendirian.
Segera Ashraf menutup hidungnya. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya. Dia menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah dicepatkan. Semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk hidungnya.
Kala itu terlintas di fikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya! Teringat itu, Ashraf segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu.
Degup jantungnya semakin kencang. Hatinya mula berdebar-debar. Tidak pernah dia mengalami peristiwa sebegini. Ashraf sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar. Kini barulah Ashraf, tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang wujud.
Tiba-tiba Ashraf mendongak kepalanya. Entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, Ashraf dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu. Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu.
Seluruh bulu roma Ashraf berdiri tegak. Langkahnya tiba-tiba terhenti, bagaikan dipegang sesuatu. Dia cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat. Matanya terus terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah. Bermula dengan wajah senyum, berubah menjadi bengis. Gigi yang tersusun cantik tiba-tiba bertukar tajam dengan susunan yang menyeramkan.
Rambut wanita itu mula mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri Ashraf. Dia cuba lari, tetapi kakinya seolah-olah terpijak gam. Serentak itu, dia terus menjerit sekuat hatinya, kemudian rebah menyembah bumi.
Keesokan paginya, Ashraf ditemui oleh seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong sunyi itu. Setelah mendapatkan bantuan, Ashraf akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang lemah. Melihat wajahnya yang kebiruan, nyata Ashraf sudah tidak bersemangat lagi.Ashraf demam selama tiga hari dan menurut ibunya, Azizah, Ashraf sering kali meracau-racau dalam tidurnya terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi. Akhirnya, untuk memulihkan kembali semangat Ashraf, ibunya memanggil seorang pakar perubatan tradisional.
Dengan izin Allah SWT, akhirnya dia berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama. Sejak peristiwa itu, barulah Ashraf sedar dan percaya apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Kini Ashraf juga sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi yang berpuaka itu!

Kereta Busuk

Cerita ni dah lama jugak, masa tu aku tingkatan satu. Nak cerita secara detail aku pun tak berapa ingat cerita ni. Cerita yang aku nak cerita ni pun takdelah seram sangat pun, tak taulah aku kalau ada daripada pembaca yang rasa seram jugak. Masa tu aku ingat lagi kecoh kat sekolah aku pasal ada sebuah kereta Proton Saga Aeroback yang dijual dengan harga murah, tak sampai RM 500 pun. Memang murah gila, yelah mana nak dapat kereta murah macam tu dan masih baru lagi. Kereta tu second hand tapi baru je pakai beberapa bulan dan pemiliknya telah menjual pada satu kedai kereta terpakai. Tapi kereta tu takde seorang pun mahu membelinya. Heran bukan? Memang heran pun aku sendiri pun heran, mesti ada udang disebalik batu.
Sebab musabab kereta tu tak laku bukannya kerana dah tak boleh digunakan atau rosak, kereta tu masih sempurna lagi dari segi zahir dan batinnya… cewahhh. Tapiiiiiiii ni aku nak kaboo ke mung ni (terengganu pulak aku ni) bila bukak je pintu kereta tu, peeehhhh mengeluarkan satu bau yang amat busuk, masyaAllah tak taulah nak kata macammana dia punya busuk, aku rasa bau taik aku pun kalah. Memang busuk sangatlah. Itulah puncanya kereta tu tak laku. Nak ikutkan puas juga orang kedai tu bersihkan, macam-macam jenis syampu pakai tapi memang bau tu tak mahu hilang jugak.
Ceritanya macamni, aku pun ingat-ingat lupa sebenarnya. Lebih kurang macam ni la, pada suatu hari pemilik kereta asal ni balik dari kerja (nak mudahkan cerita aku bagi nama  kat pemilik ni Zues lah, senang sikit tapi bukan nama sebenar), si Zues ni balik pada hari ni agak lewat sikit, yelah banyak kerja la katakan pada hari tu. Dalam perjalanan pulang si Zues akan melalui satu tanah perkuburan, memang tiap-tiap hari dia ikut jalan tu. Tapi dah biasa agaknya si Zues ni takdelah rasa apa-apa lalu kat situ. Kebetulan selepas saja melalui tanah perkuburan tu ada seorang wanita tahan kereta si Zues ni, masa tu lebih kurang pukul 8:30 malam. Pada mulanya si Zues ni tak mahu berhenti yelah dah malam-malam macam tu, entah kenapa pulak hati dia ni tergerak pulak nak berhenti. Si Zues menekan butang auto windowsnya,
“Nak kemana ni cik adik?”, tanya Zues pada wanita tu.
“Saya nak baliklah bang, dari petang tadi saya tunggu bas, takde satu pun yang lalu, kalau abang tak keberatan boleh saya tumpang?”, tanya wanita tersebut pada Zues.
“Emm boleh jugak, rumah cik adik ni kat mana?”, tanya si Zues lagi.
“Alaa bang tak jauh pun, dekat kawasan perumahan yang dekat dengan restoren lj tu.”
“Ohhh restoren tuuuu, emm kat situ nasi lemak dia memang sedap tu, emm naiklah saya pun memang lalu tempat tu”, Tanpa berlengah lagi si Zues pun membuka pintu keretanya.
Wanita tadi pun naiklah kereta si Zues. Wangi jugak, ntah minyak wangi apa entah dia pakai. Si Zues tak banyak tanya dengan wanita tu, malulah tu konon yelah boleh tahan jugak lawanya. Tak sampai satu kilometer wanita tu suruh berhenti.
“Opssss, berhenti sini bang”, dengan nada yang agak kuat.
“Eh! Apsal berhenti kat sini pulak? Kan ke belum sampai lagi”, Zues hairan.
“Tu ha, rumah saya”, dengan menuding jari kearah satu tempat.
“Takde pun?”, Zues kehairanan.
“Adalah bang, takpalah saya turun sini ye, terima kasih kerana tumpangkan saya nah ambil lah kain ni tanda terima kasih saya, simpan elok-elok ye bang jangan buang pulak simpan je kat dalam kereta ni”. sambil menyerahkan sepotong kain pada Zues.
Si Zues ni pun tanpa banyak tanya dia pun terima kain tu. “Oklah, Baik-baik jalan tu” dengan agak kehairanan dengan apa yang terjadi. Si Zues ni pun baliklah rumahnya dengan kain yang diberi oleh wanita tadi. Untuk pengetahuan, si Zues ni dah berkahwin.
Keesokan harinya pula, kebetulan besok tu hari minggu si Zues ni banyak menghabiskan masa dirumah bersama keluarga. Si Zues ni biasalah dah hujung minggu ni takde keje lain dia basuh kereta la, kereta barulah katakan baru je sebulan pakai, dia basuh kereta dengan bini dia. Tengah bini dia dok vacumm dalam kereta, “Eh kain apa ni bang? Wangi je kain ni, abang keluar dengan perempuan mana pulak ni bangggg???” Zues pandang pada kain tu, dia teringat pasal wanita tu, “Takdelah Nazira, semalam masa abang balik ada sorang perempuan nak tumpang, lepas tu dia bagilah kain tu tanda terima kasih, alaaa takde apa-apalah biar jelah kat situ jangan dibuang” si Zues cuba menenangkan keadaan isterinya. “Abang jangan memain dengan saya bang” dengan keadaan yang agak marah si Nazira buang kain tu kedalam tong sampah. Si Zues membiarkan saja apa yang dilakukan oleh isterinya tu, yelah karang dilarang lain pulak jadinya (takut bini jugak mamat ni). Si Nazira ni pun terus masuk ke dalam rumah meninggalkan si Zues yang sedang memegang berus, Zeus diam tak terkata apa dengan sikap bininya tu, merajuklah tu biasalah orang perempuan cemburu, cemburu tandanya sayang tu.
Berlalulah bab tu, pada keesokannya seperti biasa si Zues ni bangun pagi dan bersiap-siap nak pergi kerja. Tengah dok nak buka pintu kereta, Zues terbau bau yang sangat busuk bau tu datang dari kereta dia, bila dibukanya pintu kereta bau tu semakin kuat pulak. Terus si Zues ni panggil bini dia, “Naziraaaa!!!! Mari cepatttt!, “Ye bang” jawab bininya “Ada apa abang panggil saya?” “Kenapa kereta ni bau busuk sangat ni? Kamu basuh macammna kereta ni semalam sampai keluar bau busuk macamni?” dengan nada yang agak tinggi. “Apa pulak bang, manalah saya tahu abang yang sudahkan basuh kereta ni semalam”. “Ish macammana boleh busuk macam ni?” serba tak kena si Zues dibuatnya.
Di pendekkan cerita, Zues mengambil keputusan menjual kereta tersebut setelah puas berikhtiar menghilangkan bau pada keretanya itu. Zues telah menjual kereta itu di salah sebuah kedai kereta terpakai dekat Cheras kalau aku tak silaplah. Lama jugak kereta si Zues tersadai kat kedai tu, takde sorang pun nak beli. Emm begitulah serba sedikit ceritanya, tak taulah aku apa cerita kereta tu, tapi ada jugak terdengar cerita kereta tu dah ada orang yang beli, yang beli tu pulak aku dengar cerita orang yang ada ilmu jugak la, tah macammana dia buat kereta tu pun hilang baunya. Wallahuaklam.

Mayat Berasap

Cerita ini bermula ketika aku masih menuntut di sekolah rendah dalam darjah 5 ketika itu aku berumur 10 tahun . peristiwa ini berlaku pada suatu malam nan hening yang banyak mengundang unggas-unggas bermain pada masa waktu ketibaannya Tapi bukan sahaja makhluk kerdil ini sahaja yang hadir pada waktu seperti ini tetapi ada juga makhluk lain yang suka bertandang pada waktu ini. Seperti apa yang dikatakan oleh arwah nenekku, makhluk yang sering bertandang pada waktu ini ialah makhluk Jin dan Syaitan yang dilaknati telah Allah S.W.T.
Ketika itu aku baru selesai mengaji Al-Quran dari rumah Tok Cik , guru yang mengajar aku tentang agama. Ketika itu akulah pelajarnya yang terakhir menyelesaikan pembelajaran pada hari itu. Maknanya aku terpaksa kembali ke rumah berseorangan kerana rakan-rakanku yang lain telah lama meninggalkanku. Selepas mengucapkan terima kasih kepada Tok Cik ,aku pun berjalan pulang. Malam makin gelap perasan takut mula menyelubungi diriku. Kini aku mula merentasi kawasan perkuburan yang selalu digembar gemburkan oleh penduduk kampung sebagai kawasan berhantu. Hatiku mula berkocak dan mula berfikir tentang cerita-cerita seram yang sering diceritakan oleh penduduk kampung.
Tiba-tiba satu kubur mula berasap, aku mula berpeluh. Aku melihat satu mayat berasap keluar dari kubur tersebut .AARRRGGGGHHH!!!!!!. Aku mula kaget dan menjerit ketakutan. Fikiran aku makin bercelaru, puaka itu semakin mara kepadaku. Ingin aku meninggalkan tempat itu, tetapi aku tak dapat menggerakkan anggota tubuhku, Tubuhku seperti terpaku di bumi di mana tempat aku berpijak. Mayat berasap itu mula mengeluarkan bunyi yang menyeramkan. Heeeee….Heeeee…Heeeee…. Suaranya sungguh nyaring dan menyeramkan kepada sesiapa yang mendengarnya. Dalam keadaan samar-samar itu aku dapat melihat wajah puaka tersebut. Wajahnya sungguh menyeramkan dengan anggota tubuhnya dibaluti kain kafan dan wajahnya yang menyeringai memandang tepat ke mukaku.
Dengan melihat puaka itu mula mendekatiku, aku mula mengumpulkan seluruh tenaga untuk berlari meninggalkan kawasan berpuaka itu. Aku seperti mendapat semangat yang baru, sejurus itu aku mula berlari untuk meninggalkan kawasan tersebut. Dari kejauhan itu aku masih lagi mendengar hilai ketawa mayat tersebut. Aku berlari sehinggalah aku kepenatan. Aku pun berhenti di bawah perdu sepohon pokok Pulai. Tanpa menyedari keadaan sekeliling aku pun melepaskan lelah di bawah pokok tersebut. Semasa aku berehat di bawah perdu pokok itu, aku merasa ada sesuatu cecair pekat menitik jatuh dan terkena pada baju melayuku. Tikk…Tikk…Tikkk… Setitik demi setitik jatuh mengena pada bajuku. Aku dapat mengecam cecair yang terkena pada bajuku itu, tak lain dan tak bukan iaitu DARAH. Aku mula melihat kekiri dan kekananku tapi tiada bukti darah itu datang dari sana. Dalam keadaan ketakutan aku memberanikan diriku melihat ke atas pokok tersebut. Memang tidak salah dugaanku, mayat berasap tersebut masih lagi ingin menggangguku. Dalam kegelapan malam itu aku dapat melihat dua biji mata merah memandang tepat kepadaku. Tangan mayat itu mula mahu memegang leherku, yang pasti akan meragut nyawaku pada malam itu. Sejurus sahaja kejadian itu berlaku aku terus menjerit ketakutan dan tanpa mengingati apa yang telah terjadi pada diriku pada malam yang menyeramkan itu.
Pada suatu ketika aku mula membuka mata, aku menyedari kini aku berada di rumah Tok Cik. Aku bertanya kepada Tok Cik kenapa aku berada di sini dan apa yang telah berlaku kepadaku?. Dan Tok Cik hanya menjawab, “mengucap dan bertenang Pak Kadim itu tak akan menggangumu lagi anakku”. Tetapi bagiku pernyataan Tok Cik itu masih lagi membawa seribu pertanyaan kepadaku dan menjadi misteri kepada diriku. Di dalam benakku masih tertanya-tanya siapakah Pak Kadim itu?. Apakah hubungan Tok Cik dengan Pak Kadim dan mengapakah aku yang menjadi mangsa gangguan Pak Kadim itu?. Kini peristiwa tersebut telah lama berakhir dan Tok Cik guru agamaku juga telah lama kembali ke Alam Baqa. Tetapi, aku masih lagi tidak dapat melupakan peristiwa yang menakutkan ini dan ia masih lagi menghantui diriku serta seterusnya ia telah menjadi satu pengalaman yang ngeri dalam hidupku sehinggalah ke hari ini.

Hantu Wanita Anak Satu

Pengalaman ngeri ini berlaku beberapa tahun dahulu disebuah kampung yang terpencil diselatan tanah air. Ketika itu aku sedang menunggu keputusan SPM dan bekerja sambilan sebagai kelindan lori. Aku bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan yang membawa barangan kesetiap tempat di Johor termasuklah kedaerah-daerah yang terpencil.
Pada suatu petang, lebihkurang jam 5:30 penyelia tempat aku bekerja mengarahkan aku mengikut seorang pemandu lori untuk menghantar barangan kesebuah kampung dipendalaman. Katanya barangan itu perlu dihantar hari itu juga. Memandangkan hari sudah lewat petang, pada mulanya aku agak keberatan kerana waktu habis bekerja sudah hampir iaitu jam 6:00. Aku diberitahu yang gaji kami akan dibayar dua kali ganda untuk tugas yang kami lakukan. Aku terus setuju kerana kalau balik rumah pun, tidak ada apa-apa rancangan. Lebih baik aku bekerja, dapat juga menambah wang saku.
Perjalanan kami ke kampung tersebut mengambil masa selama dua jam. Kami sampai kedestinasi jam 7:30. Sayup-sayup kedengaran suara azan Maghrib. Setelah segala urusan selesai, hari sudah mula gelap. Kami singgah disebuah warung untuk mengisi perut. Keadaan dikampung itu agak berlainan sedikit dari tempat-tempat ini. Disitu suasananya sunyi, cuma sekali-sekala kelihatan motosikal lalu-lalang memecah kesunyian malam. Warung yang kami singgah itu pun menggunakan lampu gasolin. Mungkin bekalan elektrik belum sampai kekawasan ini, fikir hatiku. Tuan punya warung sedang berkemas-kemas untuk menutup kedai. Waktu menunjukkan jam 9:30.
Sewaktu membayar harga makanan, tuan punya warung, seorang pakcik tua, menasihati kami agar berhati-hati ketika memandu diwaktu malam kerana menurutnya dua minggu yang lepas salah seorang penduduk kampung itu, seorang wanita yang sarat mengandung, telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori. Keadaannya amat mengerikan. Dia telah digilis dan diheret beberapa meter dari tempat kejadian sehinggakan mayatnya sukar dikenali. Perasaanku bercampur ngeri dan simpati mendengar cerita pakcik tadi.
Sebaik sahaja kami melangkah keluar menuju ke lori, tiba-tiba hujan turun renyai-renyai. Sipemandu menyumpah kerana keadaan seperti itu akan menyulitkan perjalanan. Aku cuma berdiam diri. Keadaan menjadi bertambah gelap dengan langit yang mendung dan dentuman guruh yang sayup-sayup kedengaran menandakan hujan lebat akan turun.
Kami menghadapi masalah mencari jalan keluar kerana kami tidak biasa dengan jalan dikampung tersebut ditambah lagi dengan cuaca yang tidak begitu baik.
Kami mengambil keputusan untuk kegerai tadi semula untuk mendapatkan bantuan, tetapi malangnya gerai tersebut susah tutup. Kenderaan lain pun tidak kelihatan. Kami tertekad untuk mencari jalan keluar biar pun mengambil masa yang lama. Sipemandu tidak henti-henti menyumpah seranah dirinya sendiri kerana sanggup melakukan tugas tersebut semata-mata inginkan bayaran gaji lebih untuk hari itu. Aku cuma berdiam diri.
Apabila kami sampai kesuatu kawasan dimana kelihatan sebuah rumah kayu usang yang seperti sebuah surau, aku ternampak sesusuk tubuh sedang berdiri dibawah pokok besar yang rimbun. Hujan sudah mula lebat. Apabila kami menghampiri pokok tersebut, kelihatan seorang perempuan berkain batik dan berbaju T lusuh sedang mengendung bayi yang ditutupi dengan kain putih. Mungkin untuk melindungi bayi itu dari terkena hujan. Kami berhenti untuk bertanya. Wanita tadi cuma menundukkan mukanya. Dari gerak-gerinya, dia kelihatan seperti seseorang yang sedang menangis teresak-esak. Aku memberi salam, tetapi tidak diendahkan. Sipemandu yang memang sudah terkenal dengan sikap panas baran, hilang sabar. Dia terus turun dari lori dan mendekati wanita tadi. Wanita itu masih tunduk sambil teresak-esak. Dengan suara yang agak tinggi, sipemandu bertanya kepada wanita itu kenapa dia berada disitu. Wanita itu terus tunduk dan teresak-esak. Oleh kerana hilang sabar, sipemandu terus menengking sambil menghenjut bahu wanita tadi. Kali ini wanita itu mengangkat mukanya. Jantungku serta-merta terhenti apabila melihat wajah wanita itu. Matanya kosong, mukanya dipenuhi darah dan luka-luka. Dengan suara yang garau dia berkata, “Kau yang membuat aku begini.” Sambil dia membuka kain putih yang menyelimuti bayinya. Rupa-rupanya bayi itu adalah sebuah nisan kayu yang berdarah. Sipemandu terus jatuh pengsan. Wanita tadi terus berpaling kearah aku. Aku menggigil. Dia seperti terawang-awang dan menghampiriku. Aku terus melompat keluar dan lari sekuat-kuat hatiku tanpa menoleh kebelakang. Entah macam mana kakiku tersangkut akar. Aku tersungkur. Pandanganku berpinar-pinar. Aku cuba bangun tetapi tidak berdaya. Aku cuma terlentang. Dikiri-kananku kelihatan batu-batu nisan. Diatasku kelihatan sesuatu berwarna putih terawang-awang. Aku terus tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.
Apabila tersedar, aku dikelilingi oleh orang-orang kampung. Aku berada didalam surau bersama dengan sipemandu. Keadaan diluar masih gelap. Pakcik peniaga warung pun ada disitu. Dia menepuk bahuku, menyuruhku bangun untuk mengambil air sembahyang. Waktu subuh dah masuk katanya. Setelah selesai berjemaah kami menceritakan pengalaman ngeri kami kepada semua yang ada. Mereka cuma mengangguk-nganggukkan kepala mendengar cerita kami. Sewaktu bersarapan diwarung pakcik tua, dia memberitahu kami kemungkinan besar kami bertemu dengan langsuir dibawah pokok kekabu bersebelahan dengan surau. Dibelakang pokok itu ialah tanah perkuburan dimana mayat wanita yang terlibat dalam kemalangan tempoh hari dikebumikan.
Menurut pakcik itu lagi, mungkin roh wanita itu tidak diterima bumi maupun langit kerana dia telah banyak membuat dosa semasa hayatnya. Dia telah menduakan suaminya dan anak yang dikandungi itu bukan dari suaminya. Sewaktu malam kejadian, dia telah dihalau oleh suaminya apabila mengetahui yang isterinya curang. Orang-orang kampung tidak pasti samada kemalangan yang berlaku itu disengajakan oleh wanita tersebut ataupun sebaliknya. Rohnya tidak aman.
Sebelum kami berangkat, pakcik tersebut menunjukkan kubur wanita itu. Aku sempat menghadiahkan alfatihah dan mendoakan semoga dosa-dosanya diampun. Sipemandu tidak mengikut kami. Dia cuma menunggu didalam lori. Sewaktu dalam perjalanan pulang, sipemandu melarang aku menceritakan perkara yang sebenarnya kepada sesiapa pun apabila kami sampai ketempat kerja nanti. Aku kurang pasti kenapa. Mungkin kerana dia malu diatas apa yang telah berlaku.
Yang pastinya aku telah memberitahu kepada semua pembaca sekelian tanpa pengetahuan sipemandu. Semoga sama-sama kita mengambil ikhtibar

Dah Penat ke Dah Tahu ?

Dah Penat ke Dah Tahu ?

Cuaca petang itu begitu panas dan matahari masih bersinar terik. Dua orang remaja melangkah laju masuk ke dalam perpustakaan sambil mengepit buku. “Ahhh!! Barulah sejuk sedikit.” kata seorang pemuda sambil mengibas-gibaskan baju putihnya yang basah dengan peluh.
“Wah ramainya orang kali ini.” kata yang seorang lagi.
“Mestilah. Inikan minggu peperiksaan. Semuanya hendak belajar saat-saat akhir. Tentulah sesak. Tak apalah. Kita pergi ke tingkat atas sekali. Di situ tidak ramai orang.” kata pemuda pertama tadi.
Mereka berdua terus melangkah menaiki tangga. Ternyata di tingkat teratas perpustakaan itu tidak ramai yang duduk di situ. Mereka berdua memilih sudut yang agak terlindung untuk belajar.
Masa terus berlalu. Beberapa jam kemudian…..
“Ahhh! Aku dah penatlah. Aku balik dahululah.” kata seorang pemuda itu sambil mengemaskan buku-bukunya. Majalah “Popular Science” dan “National Geographic” yang bersepah di atas meja yang diduduki mereka.
“Allah! engkau ni. Awal lagi ini. Baru pukul tujuh.”
“Aku ada temujanji malam ini.” kata pemuda itu sambil tersengih-sengih.
“Wah! padanlah.” sahut kawannya.
“Engkau masih belum mahu balik lagike?” tanyanya.
“Aku hendak mengulangkaji sedikit lagi. Tak apalah, engkau baliklah dahulu.” kata rakannya sambil tersenyum-senyum.
Selesai mengemaskan bukunya pemuda itu melangkah turun meninggalkan rakannya yang masih tekun mengadap buku. Pemuda pertama itu meneruskan bacaannya mengenai sejarah kerajaan Sung – China. Sekali-sekala dia mengangkat kepalanya melihatkan sekeliling. Suasana perpustakaan itu sudahpun agak lengang kerana sudah ramai pelajar yang balik, malah tiada seorangpun yang tinggal di bahagian tingkat atas perpustakaan itu. Suasana yang sunyi itu lebih disukainya kerana lebih mudah baginya untuk mengulangkaji.
Tiba-tiba dia berbau satu haruman yang lembut. Dia terperanjat kerana apabila mengangkatkan kepalanya ada seorang gadis yang jelita yang berambut panjang duduk berhadapan dengannya, tekun membaca. Hatinya berdebar-debar seketika melihatkan kejelitaan gadis itu. Gadis itu tersipu-sipu apabila menyedari dirinya direnung sebegitu.
“Hai! Buat apa tu.” tegurnya.
Gadis itu membalas senyumannya dengan senyuman manis. “Boleh saya menumpang duduk di sini. Di sini sunyi, tidak ada orang, jadi saya duduk dekat awak.” jawabnya dengan lembut.
Dia berasa gembira. “Ada peluang nampaknya kali ini.” katanya dalam hati.
Dia cuba mengajak gadis itu berbual-bual, ternyata gadis itu tidak menolak. Mereka berdua mula bersembang panjang.
“Boleh saya pinjam pen awak sekejab?” tanya gadis itu.
“Boleh-boleh” dia menjawab sambil menghulurkan pennya kepada gadis itu.
“Terima kasih. Saya pulangkan pen awak ini.” suara lembut gadis itu menerpa cuping telinganya.
Dia menghulurkan tangannya untuk menyambut pen yang di hulurkan oleh gadis itu.
Tiba-tiba muka gadis itu berubah menjadi merah lalu tertunduk tersipu-sipu kemalu-maluan, apabila dia cuba mencapai tangan gadis itu, tetapi ternyata gadis itu lebih tangkas merentap balik tangannya itu.
Dia agak hampa kerana gagal menggengam tangan gadis itu lalu menggetuk meja dengan pen tetapi pennya itu pula yang terjatuh pula ke bawah meja. Dia menyelinap ke bawah meja untuk mengambil pen itu, tetapi dia mengangkatkan kepalanya terlalu cepat sehinggakan berdetum kepalanya terhantukkan ke bawah meja itu.
Dia menyumpah-yumpah apabila mendengarkan gadis itu tertawa perlahan-lahan. Dia sedang menggosok-gosokkan kepalanya apabila dengan tiba-tiba bulu romanya menegak berdiri apabila dia melihat dengan ekor matanya kerusi di hadapannya itu. Darahnya berderau dan dia bangun menegak kembali sambil terus menggosokkan -gosokkan kepalanya sambil melihat kearah gadis itu yang duduk tersenyum di hadapannya sambil menutup mulut dengan tangan.
Dia mula mengemas-gemaskan bukunya dengan cepat. Untuk menguatkan semangatnya dia berkata “Ahhh… dah penatlah. Nak baliklah.”
Gadis itu hanya tersenyum mendengarkan perkataannya lantas menjawab “Dah penat ke, dah tahu…”
Dia tidak bertangguh lagi terus lari lintang pukang menerpa ke tangga. Pandangannya melihatkan sepasang kaki yang tinggal rangka di hadapannya di bawah meja, sedangkan rupa seorang gadis cantik di sebelah atas yang bercakap- cakap dengannya cukup menyeramkannya.
Sepanjang jalan itu, suara gadis itu berulang-ulang kedengaran bertanyakan “Dah penat ke, dah tahu? “Dah penat ke, dah tahu?” disertai deraian ketawa mengelikik.
Tanpa bertangguh lagi dia memecut lebih laju, berlari balik, putih tapak kaki, tanpa menoleh kebelakang lagi.
Jadi anda dah penat ke sebab dah tahu? Cuba- cubalah lihat siapa yang duduk di belakang awak itu??????????

Bidan

“Abang, Amy rasa tidak sihatlah hari ini!” rungut seorang wanita sambil mengurut-urut perutnya yang sarat itu. Ramli menoleh kearah isterinya, “Sabarlah sayang, bidan Esah akan sampailah tu sekejab lagi. Dia menoleh kehadapan semula sambil melepaskan satu keluhan kecil dan terus mundar mandir di serambi rumah itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu tidak dapat mengurangkan keresahan di hatinya. Tiba tiba air mukanya berubah riang. “Sayang, mak bidan dah sampai” dia memberitahu isterinya.
Seorang wanita yang separuh umur berjalan dengan tenang kearah rumah papan itu, sekali sekala mengesatkan peluh yang merchik di dahinya. “Mak Cik Esah, cepatlah sikit.” sapa lelaki itu. Wanita itu kelihatan terkejut.
“Kenapa ni. Minah dah sakit ke? Bukankah masih awal lagi ni?” ujar wanita itu lagi.
“Tidak lah begitu. Tetapi dia ni asik menggelisah semenjak dua tiga hari ni.” jawab lelaki itu.
Mak Cik Esah cuma mengganggukkan kepalanya sambil menanggalkan seliparnya sebelum memijak naik anak tangga. Dia mencapai gayung di tepi pemegang tangga dan mencebuk air dari tempayan untuk membasuh kakinya. Dengan berhati-hati dia melangkah naik ke atas dan masuk kedalam rumah sambil diikuti oleh Ramli.
Mak Cik Esah meletakkan barang-barang yang dikeleknya dalam bungkusan kain itu ke tepi seorang wanita yang terbaring di atas tikar mengkuang di lantai. Segera dia mengeluarkan bekas dupa dan sekejab sahaja bau kemenyan semerbak mencucuk hidung. Muka Cik Esah berkerut dengan tiba-tiba.
“Kenapa tu. Ada apa-apa ke?” tanya Ramli, cermas.
“Tidak ada apa-apa.” jawab bidan Esah pendek sambil sibuk membungkus sesuatu daripada dalam bungkusan kainnya kepada beberapa bungkusan kecil. “Nah! letakkan ni di setiap penjuru rumah.” sambil mengunjukkan beberapa bungkusan berisi jarum, belerang dan tahi besi berbungkus dalam kertas. Muka Ramli berkerut kehairanan, tetapi tetap akur menurut arahan bidan itu. Mulut bidan Esah terkumat-kamit membaca sesuatu sambil dia mengurut belakang wanita yang terlantar itu. Setelah mengurut beberapa lama, muka wanita itu tidak lagi berkerut menahan sakit.
“Wah! bagus Mak Cik Esah ni mengurut.” kata Ramli, tersenyum setelah naik ke rumah apabila selesai melakukan seperti apa yang dipesan oleh bedan Esah tadi. Hatinya lega melihatkan isterinya sudah tidak duduk mengelisah lagi. Bidan Esah hanya tersenyum sumbing sambil mengemaskan barang-barangnya. Ramli menghantar bidan Esah sehingga ke pintu rumah seraya mengunjukkan duapuluh ringgit yang berlipat rapi. “Terima kasih sekali lagi Mak Cik Esah.” kata Ramli bersungguh-sungguh.
“Kau jagalah bini engkau baik-baik.” kata bidan Esah. “Jangan biarkan dia turun ke tanah waktu-waktu magrib nanti. Kalau dia memotong kuku, engkau tanamkan kukunya, jangan dibuang merata-rata. Kalau ada apa-apa panggillah aku. Ingat itu.” pesannya bersungguh-sungguh. Ramli hanya mengganggukkan kepalanya. Matanya menyorot bidan Esah sehingga melepasi pagar, selepas itu dia masuk melihatkan isterinya.
“Amy rasa dah sihatlah abang.” ujar isterinya sambil tersenyum. Rahim merasa bimbang ketika isterinya itu mengadu sakit-sakit badan semenjak beberapa hari yang lalu, sekarang barulah dia merasa lega. “Rehatlah dahulu sayang.” bisiknya lembut.
Beberapa minggu kemudian….
Bunyi cengkerit bersahut-sahutan. Keadaan rumah itu agak riuh dengan orang ramai. Mak cik Jah menenangkan menantunya. “Sabarlah Aminah. Sabar. Hah! engkau Bidin, buat apa tercegat di situ lagi. Cepatlah panggilkan bidan Esah tu. Bini engkau dah hendak bersalin ini.”
“Baik mak.” ujar Bidin sambil tergesa-gesa turun kerumah sambil menyalakan jamung untuk menerangi jalan kampung yang gelap itu. Di pertengahan jalan tiba-tiba dia disapa, “Hendak ke mana tu Bidin?”
Bidin tercangak-cangak, cuba mengenali siapakah yang menegurnya dalam kegelapan malam itu. “Hendak menjemput bidan Esah.” jawabnya pendek.
“Minah sudah hendak beranak ke?” tanya suara garau itu lagi.
“Dah.” jawab Bidin. “Siapa itu?” tanya Bidin lagi apabila dia melihat seimbas, satu lembaga dalam samar-samar api jamung itu. Tiba-tiba dia merasa seram apabila melihat lembaga itu sudah menghilang dengan mengejut. Dia segera mencapai hulu parangnya yang tersisip di pinggang. “Siapa itu? Siapa hah?” dia mencabar pada kesepian malam. Hanya bunyi cengkerit menyayi riang menyahut cabarannya, menyebabkan Bidin mempercepatkan langkahnya kearah rumah bidan Esah. Dalam hatinya dia asyik tertanya-tanya suara siapakah yang menegurnya tadi, sehinggakan dia tidak tersedar satu lembaga putih melayang kearah yang bertentangan dengannya di atas kepalanya.
 Di rumah Bidin, satu lembaga kelihatan melangkah semakin dekat. Mak cik Jah yang sedang menunggu di anjung segera menajamkan mata, cuba memastikan siapakah yang datang itu. “Oh! bidan Esah.” kata Mak Cik Jah, gembira. “Mana Bidin? Dia tidak ikut bidan Esah bersama-sama?” sambungnya lagi kehairanan.
Bidan Esah mecucurkan air dari gayung untuk membasuh kaki, sebelum meletakkan cebuk itu kembali dalam tempayan di tepi tangga. “Dia kata dia hendak pergi mencari daun ubat sebelum balik.” terang bidan Esah menunggu di pintu masuk. “Eh! masuklah.” jemput Mak Cik Jah pada bidan Esah. dia masih kehairanan dengan perangai anaknya itu yang tidak menemani bidan Esah datang. Dia menjeling keluar dengan ekor matanya, tertanya-tanya bagaimana bidan Esah boleh berjalan dalam gelap tanpa bersuluh. “Jamung aku terjatuh semasa aku hendak sampai tadi.” kata bidan Esah sambil melangkah masuk, seolah-olah tahu apa yang hendak ditanyakan oleh Mak Cik Jah. Mak Cik Jah tersipu-sipu sambil menunjukkan bilik menantunya berada. “Engkau semua tunggu sahaja di luar nanti. Jangan masuk walau apa yang berlaku.” arah bidan Esah. Mak Cik Jah terus tertanya-tanya dalam hati tetapi dia hanya menganggukkan kepalanya.
Aminah terbaring di dalam bilik keseorangan sambil memejamkan matanya. Dia membiarkan sahaja bidan Esah memeriksanya, apabila tiba-tiba dia merasakan perutnya sakit mencucuk-cucuk. Dia membukakan matanya dan darahnya berderau melihatkan satu lembaga yang hodoh sedang duduk di celah kelangkang kakinya sambil menjilat-jilat darahnya dengan lahap sekali, menggunakan lidah terjelir panjang sehingga ke kaki. Aminah menjerit-jerit sekuat hatinya. Lembaga itu hanya tersengih sambil terus menjilat-jilat darah yang keluar. Aminah tidak dapat berbuat apa-apa kerana kakinya di pegang erat oleh lembaga itu. “Tolong.. Tolong… Lepaskan aku. lepaskan aku. Engkau shaitan.. Pergi… Pergi.. Abang Bidin… Tolong… Tolong….”
Mak Cik Jah terkejut mendengarkan jeritan menantunya. Hatinya risau tetapi dia teringat pesan bidan Esah dan akur menunggu di luar pintu bilik. Orang ramai di ruang tamu sudan mula berbisik-bisik mendengar teriakan Aminah di dalam bilik itu. Tiba-tiba terdengar bunyi kecoh di muka pintu, Bidin muncul tercungap-cungap.
“Hah! mana engkau pergi Bidin? Lambat balik. Kenapa dengan engkau ini?” tanya Mak Cik Jah bertubi-tubi, kerisauan.
“Saya pergi memanggil bidah lah mak.” jawab Bidin kehairanan.
“Bidah Esah sudah lama sampai. Engkau saja yang entah kemana-mana pula.” jawab emaknya.
“Bila pulak aku sampai.” terdengar satu suara di muka pintu.
Mak Cik Jah berpaling dengan pantas. Mukanya pucat, jika dihiris tidak berdarah. “Bidan Esah… Kalau macam itu siapa pula yang di dalam…” katanya terputus-putus.
“Syaitan! Penanggalan!” getus bidan Esah sambil mengetapkan bibirnya penuh kemarahan.
“Abang Bidin…… Tolong…” Aminah meraung dari dalam bilik.
Bidan Esah segera menerpa ke bilik tetapi ternyata Bidin lebih pantas mendapatkan isterinya, diikuti dengan bidan Esah. Mak Cik Jah hanya terpaku terpinga-pinga di tengah ruang rumah, kebingungan.
Bidin terperanjat melihatkan isterinya meronta-ronta lemah seorang diri. Bau darah hanyir menusuk-nusuk hidungnya menyebabkan dia hampir muntah. Segera dia memegang lengan isterinya. “Tolong isteri saya bidah Esah. Tolonglah.” dia merayu kepada bidan Esah yang terkocah-kocah mengekorinya di belakang.
Bidan Esah segera memeriksa Aminah dengan teliti. “Syukurlah kita cepat, masih ada peluang. Cepat Bidin, buat seperti apa yang aku suruh tadi.” Sementara itu bidan Esah mengambil seikat daun telinga beruk dari dalam bungkusannya lalu diberikan kepada Mak Cik Jah yang kelihatan masih terperanjat itu.
“Cepat rebuskan daun ini untuk di beri minum buat air selusuh. Lepas itu engkau jerangkan air panas untuk digunakan nanti.” dia mengarah Mak Cik Jah. Bidan Esah berharap dengan ada sesuatu untuk dibuat, Mak Cik Jah tidak akan lama berada dalam keadaan terkejut.
Bidan Esah tersenyum sedikit apabila terdengar bunyi bising dari arah dapur menunjukkan semangat Mak Cik Jah sudahpun pulih sedikit dan boleh membantu. Dia terus membacakan beberapa patah ayat suci Al-Quran lalu menghembuskan keseluruh tubuh Aminah sebelum membuat persediaan yang diperlukannya. Ternyata tidak banyak perubahan berlaku. “Oh! Kamu degil ya!” Desis hatinya.
Bidin melompat pantas, melakukan seperti apa yang disuruh. Dia turun ke tanah dengan parang terhunus mencari daun mengkuang dengan hanya bermandikan cahaya bulan.
Dalam kegelapan malam itu satu hilaian memecah kesunyian malam. Bidin mengetapkan bibirnya. “Kalau aku dapat, tahulah engkau.” dia mengerutu keras. Tangannya menghayunkan parang yang tajam berkilat itu sekuat hatinya ke pangkal daun mengkuang. Bunyi parang mengerat daun mengkuang itu bergema dalam kesunyian malam…. 
Aminah dapat melihat lembaga hodoh itu mengelisah sebaik sahaja suaminya menerkam masuk tetapi lembaga itu terus sahaja menjilat-jilat darah yang mengalir itu sambil menyeringa ke arah Bidin dan bidan Esah, tetapi kedua mereka tidak menyedari kehadiran lembaga itu. Aminah cuba menjerit memberitahu mereka tetapi dia hanya mampu mengerang-gerang. Kemudian Aminah dapat melihat Bidin keluar daripada bilik itu meninggalkannya bersama bidan Esah. Aminah dapat merasakan perutnya memulas setiap kali lembaga itu menjilat-jilat darah dari tubuhnya. Apabila asap kemenyan berkepul-kepul naik, Aminah merasa lega sedikit sementara lembaga itu pula yang mulai mengelisah.
Bidan Esah menaburkan serbuk kemenyan ke atas bara di dalam dupa dan membiarkan sahaja asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al Quran. Dia kemudiannya mengeluarkan beberapa biji lada hitam dan mengasapkannya di atas dupa sebelum meletakkannya ke dalam kain lalu di tumbuknya perlahan-lahan dengan kacip pinangnya apabila dengan tiba-tiba…
Aminah dapat melihat lembaga itu menyeringa kesakitan apabila bidan Esah mengetuk sesuatu di dalam ponjot kain. Secara tiba-tiba lembaga itu melontar sesuatu ke arah muka bidan Esah.
“Aduh!” Jerit bidan Esah sambil memegang matanya yang tiba tiba sahaja perit. “Oh! Engkau melawan aku ya.” Bisiknya sambil mengeyeh-genyehkan matanya, cuba melihat kembali. Bidan Esah mendapati pasir memenuhi lantai tempat dia duduk. “Cis! Jembalang. Kalau jembalang itu tidak patut di buat baik.” Desisnya di dalam hati sambil mengumpulkan pasir yang bertaburan itu ke dalam telapak tangannya sambil mulutnya terkumat-kamit berterusan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Aminah melihat bidan Esah menaburkan pasir yang di telapak tangannya sedikit demi sedikit ke atas bara api di dalam bekas dupa, serentak dengan itu lembaga itu meraung kesakitan. Dengan tiba-tiba lembaga itu bingkas bangun serta menerkam kearah bidan Esah. Aminah cuba menjeritkan amaran tetapi suaranya tersangkut di dalam tekaknya sahaja. Sebaik sahaja lembaga itu cuba mencekik bidan Esah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya dan menyebabkan lembaga itu terpelanting ke sudut bilik. Lembaga itu terus cuba untuk menyerang bidan Esah beberapa kali tetapi ia terus terpelanting sebaik sahaja cuba merapati bidan Esah. Akhirnya lembaga itu tersandar sambil terkial-kial kesakitan sementara bidan Esah berterusan sahaja membaca ayat suci Al Quran sambil menaburkan pasir di tangannya ke bara api.

Aminah dapat melihat badan lembaga itu berasap dan melepuh dan dengan secara tiba-tiba sahaja badan lembaga itu terbakar dengan maraknya. Aminah dapat melihat lembaga itu mengelumpur kesakitan sementara badannya marak terbakar sebelum sedikit demi sedikit berubah menjadi asap tebal yang hitam kelam yang menyelubungi bilik itu. Asap hitam itu berlegar-legar mengelilingi bidan Esah, seolah-olah hendak melemaskannya, tetapi bidan Esah tidak sedikitpun berhenti membaca ayat-ayat suci sambil terus membakar baki pasir yang tinggal di tangannya. Akhirnya asap hitam itu beransur-ansur semakin menipis ditiup angin yang menerpa masuk melalui liang dinding rumah kayu itu sebelum bercampur dengan asap kemenyan lalu hilang.
Setelah lembaga itu menghilang barulah Aminah dapat bingkas duduk dan menjerit ketakutan, sebelum dia ditenteramkan oleh bidah Esah. “Mengucap, mengucap anak. Jangan lupa kepada Allah yang sentiasa melindungi hambanya daripada gangguan shaitan.” Perlahan-lahan perasaan Aminah menjadi bertambah tenang setelah dia mengucap berkali-kali dan barulah dia boleh berbaring kembali ke katil.
“Bidin! Engkau jangan masuk.” Arah bidan Esah apabila mendengar bunyi telapak kaki Bidin yang bergegas naik apabila mendengarkan jeritan isterinya. Bidin akur dan menunggu dengan penuh bimbang di muka pintu.
Melihatkan Aminah sudahpun bertenang, bidan Esah segera mengeluarkan segala alat perubatannya dari dalam bungkusan kain yang sentiasa dikeleknya bersama, dan segera dia bertungkus lumus dengan segala keupayaannya sebagai seorang bidan berusaha untuk menyelamatkan dua nyawa yang berada di hadapannya itu. Mula-mula dia memberhentikan darah yang keluar itu menggunakan beberapa campuran daun yang diramas lumat. Selepas pendarahan itu berhenti, barulah dia mengurut perut Aminah, cuba mengasak bayi dalam kandungan itu supaya turun sedikit. Dia berasa bimbang sedikit kerana mendapati kandungan itu masih tinggi sedangkan Aminah sudahpun lesu akibat terperanjat dan banyak kehilangan darah tetapi dia tetap mengawal air mukanya agar Aminah tidak dapat melihat perasaan bimbang di dalam hatinya. Bidan Esah mengeluh sambil berusaha seupayanya.
Bidin sudahpun selesai meletakkan daun mengkuang di sekeliling rumah apabila dia mendengar bunyi teriakan dari atas rumah. Segera dia menerpa ke atas rumah tetapi arahan bidan Esah menyebabkan dia terhenti di muka pintu bilik. Bidin menunggu dengan penuh debaran.
Bunyi tangisan bayi menyambut ketibaannya. Hatinya berdegup kencang apabila bidan Esah melangkah keluar sambil mendokong seorang bayi yang baru lahir. “Nah, pegang anak engkau. Syukurlah semuanya selamat.” kata bidan Esah sambil menyelak sedikit kain pembalut bayi itu sebelum melangkah masuk kembali kedalam bilik. Bidin dapat merasakan matanya berair. Dia berdiri tegak sahaja sambil mendodoikan anaknya itu seketika, kemudian sambil memangku anaknya dia mengalunkan azan dengan perlahan-lahan di telinga kanan anaknya.

Bertembung mayat yang sudah dikafan

Kerjaku sebagai pemandu ambulan di sebuah hospital kerajaan menjadikan aku sudah biasa menyaksikan pelbagai kes pesakit yang dihantar ke hospital.
Pelbagai keadaan aku lihat; ada kes kemalangan, kes sakit jantung dan macam-macam sehingga kadangkala menyentuh hatiku. Sudah hampir 20 tahun aku bergelumbang dengan orang sakit.
Pernah juga aku terfikir bila aku sakit nanti macam inilah jugak keadaannya. Biasanya aku akan bekerja sehingga larut malam kerana kerjaku tidak menentu masa. Jarak rumahku dengan hospital ialah lebih kurang 5 kilometer. Aku berulang alik ke tempat kerja menaiki motorsikal.
Pada hari itu, seperti biasa setelah selesai bekerja aku pun pulang. Namun hari itu aku terasa seram sikit kerana malam itu aku baru sahaja membawa seorang pesakit yang diserang sejenis penyakit misteri yang doktor sendiri tidak pasti penyakit apa. Dia meninggal dalam perjalanan ke hospital.
Biasanya aku tidaklah sampai terbawa-bawa hingga waktu nak pulang tetapi hari itu, tiba-tiba peristiwa tersebut melekat di fikiranku. Teringat aku, badan pesakit itu berbau busuk sekali. Tumbuh kudis-kudis di seluruh badan dan berulat. Semasa dalam ambulan, pesakit itu sedang nazak dan belum sempat sampai hospital dia sudah meninggal.
Man! Luruh jantungku mendengar Azam melaung namaku. “Kau ni betul-betul mengejutkan aku la. Bagilah salam ini tak main sergah jer. Nasib baik aku tak mati sakit jantung,” marahku pada Azam. Azam cuma tersengih mendengar bebelanku pada dia. Tanpa mempedulikannya aku meneruskan langkah menuju ke motorsikal.
Tiba-tiba bulu romaku meremang dan aku terasa seperti ada yang mengekoriku dari belakang. Namun aku hanya mendiamkan diri dan berlagak seperti tidak ada apa-apa berlaku. Aku terus mengambil motorku dan memecut keluar dari kawasan hospital tersebut.
Saat itu, aku terasa motor aku berasa agak berlainan sedikit dari biasa. Sudah puas aku menekan minyak tetapi, motosikal dirasa bergerak amat perlahan sekali. Hatiku terdetik “kenapa pulak dengan motor ni, janganlah buat hal tengah-tengah malam ni.” Aku toleh kiri dan kanan. Tiada orang di sekeliling. Sekiranya terjadi apa-apa pada motorku ini siapalah yang boleh aku harap membantu. Namun biarpun perlahan aku tetap meneruskan dengan harapan ia hanya perasaan aku sahaja.
Sampai sahaja di selekoh ke lorong rumahku, dari jauh aku terlihat satu lembaga putih datang bergolek dari semak berhampiran. Wajahnya tidak nampak begitu jelas. Apabila lembaga itu makin hampir barulah aku dapat melihat dengan jelas lembaga itu merupakan mayat yang telah siap dikafankan. Bau yang dikeluarkan busuk sangat sehingga loya tekakku.
Aku cuba memecut untuk pergi dari tempat itu tetapi aku terasa seperti lembaga putih itu mengekori belakangku. Mahu berhenti bererti aku mencari nahas. Mahu diteruskan rasa kaku kakiku menekan minyak. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan aku ketika itu. Terkumat kamit mulutku membaca doa mudah-mudahan hilanglah lembaga itu dari penglihatanku. Lagi satu kilometer sampai ke rumahku lembaga itu hilang dan aku sendiri tidak pasti ke mana arah
perginya lembaga itu.
Aku mula memecut selaju yang mungkin tanpa memikir apa-apa lagi. Apa yang aku tahu, aku mahu lari dari tempat itu secepat mungkin. Tanpa menoleh ke belakang lagi aku masuk ke perkarangan rumahku. Apabila tiba di rumah badanku berpeluh-peluh dan lidahku kelu tak terkata. Isteriku pelik melihat keadaanku ketika itu. Bertubi-tubi soalan yang diajukan padaku tetapi aku tidak mampu untuk menceritakannya. Badanku lemah seperti tidak bermaya dan akhirnya aku rebah di kerusi sofa rumahku.
Dua hari aku tidak sedarkan diri, apabila aku sedar aku lihat isteriku berada di sebelahku dan aku berada di katil hospital tempat aku bekerja. Melihat aku seperti terpinga-pinga, isteriku menjelaskan apa yang berlaku. Pada malam itu aku pulang dengan wajah yang pucat lesu dan apabila ditanya aku hanya membatukan diri sehinggalah aku pengsan di sofa.
Pada waktu itulah, isteriku meminta bantuan jiran menelefon ambulan membawaku ke hospital. Akhirnya dapat juga aku menaiki ambulan yang selalu kubawa. Setelah keluar dari hospital barulah aku dapat menceritakan kejadian yang berlaku pada isteri dan kawan-kawanku. Ada yang seperti tidak percaya mendengar ceritaku itu namun itulah yang aku alami. Hanya orang mengalaminya sahaja yang tahu bagaimana rasanya. Aku dahulu juga tidak mempercayai tentang mahkluk halus tetapi bila aku sendiri alami, peristiwa itu menjadi peristiwa yang tidak mungkin dapat aku lupakan sampai bila-bila.
p>) a > ��� X�� p>“Kita ke depan!” bisik Dollah selepas menyerahkan tangkapan pertama untuk dijinjit Masol.
Kubur
Peliknya, bulu roma Masol kembali meremang. Berjalan tiga empat langkah, tiba-tiba dia dan Dollah terpaku tidak bergerak.
Surrrrrr! Bunyi melaju ke udara diiringi satu cahaya naik dari pangkal pokok besar tidak jauh dari mereka, menyebabkan masing-masing saling berpandangan.

“Cahaya apa ni?” hanya itu yang sempat ditanya Masol.
Peliknya, Dollah tidak dapat menjawab. Mulutnya seperti kelu dipahat.
Tidak sampai 15 saat, tebaran cahaya yang biru jernih berkeluasan sebesar gelanggang badminton itu hilang. Masol dan Dollah masih kebingungan.
“Kita balik ajelah, Lah!” ajak Masol kerana berasa tidak sedap hati. Namun Dollah enggan kerana katanya, mereka baru mendapat seekor ayam hutan.
“Tak ada apa-apalah. Kita cari lagi seekor,” Dollah memujuk, walaupun hatinya sedikit goyah berdepan kejadian pelik itu.
Terfikir ada betulnya cakap Dollah, Masol kembali setuju. Mereka meredah denai di tepi kawasan kubur mencari pasangan ayam hutan yang tidur.
Rezeki mereka ternyata murah. “Tu! Sepasang lagi!” bisik Dollah. Memang mata Dollah cekap berburu waktu malam. “Dapat ni, kita balik!” bisiknya lagi. Masol hanya angguk.
Dibidiknya laras senapang. Ditariknya picu mahu melepaskan bedil, tapi Dollah terasa ganjil. Senapangnya tidak berbunyi.
Dicubanya lagi dua tiga kali, tapi masih gagal. Dalam sibuk mencari mana silap senapangnya, sekali lagi suara melaju ke udara terdengar.
Surrrrrrr! Cahaya dari pangkal pokok di depan mereka pula meluncur ke udara dan menerangi sekitar mereka dalam keadaan di luar jangka.
Masol sudah tidak tertahan risau. Dua kali berdepan keadaan itu, bulu romanya hampir tercabut kerana terlalu kuat meremang.
“Jom balik!” ditariknya tangan Dollah secara paksa. Senapang Dollah turut digalasnya. “Cukuplah!” Masol berkeras, menyebabkan Dollah tidak mampu membantah.
Peliknya, sehari selepas mereka pulang daripada berburu, Dollah diserang demam panas. Dan seminggu selepas demam panas, Dollah kembali ke rahmatullah. Sebulan selepas sahabatnya meninggal dunia, Masol pula berubah laku. Dia sering meracau malam.
Kata orang kampung, Masol dan Dollah terkena badi ayam hutan. Namun kata ahli agama, segala-galanya ketentuan Allah.

Bang!!! Pasport Tu Saya Punya!!!!

Malam gelap giler. Aku dan member aku jalan pelan-pelan carik passport member aku yang tercicir. Aiseyman… baru nak pegi holiday pat KL, si beruang tu boleh pulak perasan yang dier nyer passport terlepas dari tankbag pat moto dier. Pulak tu, torchlight ader satu jer… kalau besar takper.. Jam menunjukkan pukul 11.53 malam… Nasib baik ader empat hero ngan aku.. lagi tiga ekor tu gie jaga moto..
Entah macammaner boleh tercicir aku pon tak tahu. Bengap betol… kecik-kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang… Tetapi, apakandaya.. members punya pasal, kita pon terpaksa gie carik jugak. Ada kan nanti member tu masok balik singapore jadi ii (illegal immigrant).
So, here we are at Pagoh highway pat johor bahru, malam-malam buta ngan torchlight kecik nie. Actually perot aku dah lapar, abih tu hussien (budak setan yang passport dier jatoh) cakap, kalau dapat carik nanti dier belanjer makan besar pat KL. Kira macam bribe la tu. Anyway, jalan nyer jalan, mata aku pulak terscan something moving above us. Aku pusing kiran dan kanan dan aiseyman, semuanyer pokok kelapa sawit. Gelap giler pulak tu. Nie yang aku seram nie. Bukan seram antu tapi anjing dol. Anjing pat ladang cam nie semua nyer fierce-fierce. Ada time tu kecik-kecik ader satu beruang nyer anjing gie kejar aku, Aku pon panik ah! seram siol! Lari sampai pat rumah nenek lepas tu demam 3 hari… Tiba-tiba aku tersentak dengar anjing menyalak. AAooOOOWWWOOOOOOOO!!! Alaaaa.. nie yang tak best nie… Tapi nasib baik ader satu member tu dia kira macam hercules. Semua dier tak takut…
Entah macam dah 10 jam kita jalan, sampai berpeloh aku dibuatnyer. Kaki pon dah naik sakit pasal aku gatal gie pakai redwing aku yang dah nak arwah. Tapi passport tu blom jumpa jugak… semua tengah senyap concentrate pat the road mencari buku kaler merah tu. Menyumpah-nyumpah aku pat dalam hati memikirkan kalaulah bende tak happen, kan dah bole lepak pat hotel pat KL… Tiba-tiba si Fazly berdiri tercegat. “Dol, (dia pusing pat Samad) malam nie malam aper?”… Samad : “kepalahotak kau la.. yang kau pegi cakap buat per?!”… “Eh, marah pulak..sori ah..”
Sedang aku scan carik passport tu, tiba-tiba fazly terpekik “AH TU!!” Buku merah yang kita carik tu terbaring pat tengah-tengah jalan, tapi macam dah kene lenyek ngan kereta. Lepas dah check the coast is clear, si Hussien pon lari gie amik passport tu. Muka dier bukan main happy lagi..
Lepas dier lari sambil terjerit telolong pasal happy sangat, kita pon jalan balik menuju ke moto. Si Fazly tu pulak sound ngan Hussien suroh dier check wether passport dier dah chop ke blom dan biler hussien bukak passport tu, muka dia pucat lesu. “Apasal dol?” Aku tanya… “Nie bukan aku punya!!” Alamak… salah passport da.. “meh aku tengok”.. Si fazly cakap.. “fuulluumaaakk.. jambu siol”.. “Abih amacam nie sekarang?” Gambar pat passport tu rupanyer seorang pompuan yang sangatla lawa… Dan sedang kita bebual-bual discuss pasal aper nak buat ngan passport tu, tiba-tiba ader suara pompuan paling sweet dari blakang. Kita empat orang teros tercegat pat situ, tak berani nak pusing..
“Bang.. passport tu saya punya..” Kita teros gamam. Fazly yang tengah pegang passport tu, sambil taking a deep breath, pusing pelan-pelan untuk face the voice. Tapi aku tak berani.. nak baca bismillah pon tergagap-gagap.. Aleh-aleh Fazly menjerit ketakutan, dan teros lari! Kita pon aper lagi, CABOT AH!!
Biler sampai pat moto, kita teros start dan berdesut sampai ke stesen minyak. Itu pon belom ilang lagi rasa panik tu. At last, si Rahman (dia tunggu pat moto) tanya fazly “Dol, kau apsal? okey tak?… aper kau nampak?”
“Aku… aku.. nampak.. pompuan tu… dia… rabak ah… macam… baru kene accident..”
we all  teros senyap…

Badi Ayam Hutan

Keinginan untuk merasai keenakan daging ayam hutan, entah kenapa terlalu membuak-buak sejak kebelakangan ini. Masol seperti orang mengidam.
“Siang susah nak jebak. Kita tembak aje. Kat hutan belakang kubur sana tu aku dengar masih banyak bertenggek!” Dollah pula memberi cadangan.
Akhirnya kata sepakat dicapai. Khamis malam Jumaat kebetulan mereka tidak bekerja giliran malam. Rakan berjiran itu mula mengatur rancangan. Sejak petang segala keperluan disediakan.
“Kita cari paling kurang empat ekor. Kalau tak, macam mana nak buat rendang?” Masol beriya-iya sambil memerhatikan Dollah membersihkan laras senapang patahnya.
“Aku bawa peluru nombor lapan aje,” kata Dollah, dan Masol mengangguk sambil tersenyum membayangkan bagaimana nanti malamnya, ayam hutan akan menjadi mangsa peluru penabur yang diledakkan kawannya.
Ayam hutan memang haiwan liar yang sensitif dan mudah peka dengan kehadiran pemangsanya. Dollah berkali-kali mengingatkan hal itu kepada Masol.
“Kena pakai kasut getah… senang serap bunyi!” pesan Dollah lagi. Masol akur, lagipun itu bukan kali pertama mereka berburu.
Malam jam 10, mereka mula melangkah. Berjalan kaki menuju ke hutan bersebelah kubur kampung yang hanya kira-kira satu kilometer, mereka berbual dan sesekali bergelak ketawa.
“Entahlah, Lah! Aku ni mengidam sangat!” Masol berkali-kali memberitahu niatnya untuk menyuruh isterinya membuat rendang ayam hutan.
“Boleh dapat ke?” soalnya seperti curiga.
“Engkau tak kan tak tahu. Mana pernah kita kecundang!”
“Empat ekor boleh?”

Dollah cepat-cepat mengangguk.

Hampir melintasi jalan masuk kubur kampung yang terletak di atas bukit, entah kenapa bulu roma Masol tiba-tiba meremang. Mahu diberitahunya pada Dollah, tidak boleh. Itu memang pantang yang sudah lama sebati dalam dirinya setiap kali berburu. Cuba dilawannya perasaan yang bukan-bukan, pun tidak berdaya. Sebaliknya, bulu romanya pula semakin kuat meremang.
Tiba-tiba Dollah memberi isyarat. “Duduk kat banir pokok leban tu,” bisik Dollah dan Masol patuh.
“Tu!” bisik Dollah lagi, sambil bibirnya menjuih dalam samar malam ke arah dahan leban. Mata Masol terpandang sesuatu. Hilang terus remang bulu romanya terpandangkan sepasang ayam hutan tidur bertenggek.
Bammmmmm!
Dan tak sempat Masol bertanya lagi, peluru dari senapang patah Dollah memecah hening malam.
Kepurrrrr! Kepurrrr! Seekor ayam hutan menggelupur ke tanah dan Dollah berlari mendapatkannya. Namun pasangannya terlepas dan terbang jauh.
“Kita ke depan!” bisik Dollah selepas menyerahkan tangkapan pertama untuk dijinjit Masol.
Kubur
Peliknya, bulu roma Masol kembali meremang. Berjalan tiga empat langkah, tiba-tiba dia dan Dollah terpaku tidak bergerak.
Surrrrrr! Bunyi melaju ke udara diiringi satu cahaya naik dari pangkal pokok besar tidak jauh dari mereka, menyebabkan masing-masing saling berpandangan.

“Cahaya apa ni?” hanya itu yang sempat ditanya Masol.
Peliknya, Dollah tidak dapat menjawab. Mulutnya seperti kelu dipahat.
Tidak sampai 15 saat, tebaran cahaya yang biru jernih berkeluasan sebesar gelanggang badminton itu hilang. Masol dan Dollah masih kebingungan.
“Kita balik ajelah, Lah!” ajak Masol kerana berasa tidak sedap hati. Namun Dollah enggan kerana katanya, mereka baru mendapat seekor ayam hutan.
“Tak ada apa-apalah. Kita cari lagi seekor,” Dollah memujuk, walaupun hatinya sedikit goyah berdepan kejadian pelik itu.
Terfikir ada betulnya cakap Dollah, Masol kembali setuju. Mereka meredah denai di tepi kawasan kubur mencari pasangan ayam hutan yang tidur.
Rezeki mereka ternyata murah. “Tu! Sepasang lagi!” bisik Dollah. Memang mata Dollah cekap berburu waktu malam. “Dapat ni, kita balik!” bisiknya lagi. Masol hanya angguk.
Dibidiknya laras senapang. Ditariknya picu mahu melepaskan bedil, tapi Dollah terasa ganjil. Senapangnya tidak berbunyi.
Dicubanya lagi dua tiga kali, tapi masih gagal. Dalam sibuk mencari mana silap senapangnya, sekali lagi suara melaju ke udara terdengar.
Surrrrrrr! Cahaya dari pangkal pokok di depan mereka pula meluncur ke udara dan menerangi sekitar mereka dalam keadaan di luar jangka.
Masol sudah tidak tertahan risau. Dua kali berdepan keadaan itu, bulu romanya hampir tercabut kerana terlalu kuat meremang.
“Jom balik!” ditariknya tangan Dollah secara paksa. Senapang Dollah turut digalasnya. “Cukuplah!” Masol berkeras, menyebabkan Dollah tidak mampu membantah.
Peliknya, sehari selepas mereka pulang daripada berburu, Dollah diserang demam panas. Dan seminggu selepas demam panas, Dollah kembali ke rahmatullah. Sebulan selepas sahabatnya meninggal dunia, Masol pula berubah laku. Dia sering meracau malam.
Kata orang kampung, Masol dan Dollah terkena badi ayam hutan. Namun kata ahli agama, segala-galanya ketentuan Allah.